Sunday, October 4, 2009

Punca anak derhaka

Sabda Rasulullah s.a.w. "Berguraulah dengan anak kamu

kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok
dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun
tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak
asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun
kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai
pengajaran)" dimana yang nak dipukul tu? Tapak
kakinya... bukan muka, punggung, telinga dan
ditempat-tempat yang sensitif... itu salah...


"Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan
sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau
peluk mereka sebagai tanda penghargaan. Kala umur
mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan. Tetapi
selalunya usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan
hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka". Yang
penting anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah
bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan
sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka.


"Saya pernah tinjau, anak-anak yang lari daripada
rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat
letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak
rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan
rumahnya. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di
rumah. Yang penting dia balik ke rumah suka, dan pergi
sekolah pun seronok. "Mungkin ibu bapa punya alasan
tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh
cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah
tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani
tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya
sentiasa hidup." Jangan kita tunjuk sikap kita yang
panas baran, pemarah dan ada kuasa veto kepada mereka,
jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan "bodoh,
kurang ajar, sumpah seranah dan sebagainya yang
merupakan doa kepada mereka". inilah yang menyebabkan
mereka derhaka kepada kita...


DOA ANAK-ANAK TERMAKBUL


Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu
mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan
orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur
di bawah akar. Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak
tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima. Begitu
juga dengan Rasulullah, kalau berjumpa anak-anak
kecil, Baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak
tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau menegur
memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah.
Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang
tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur
pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa
tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat
mereka mengadu, bila jumpa kawan baik tidak mengapa,
tetapi jumpa yang samseng, ia sudah tentu membawa
padah.


BERTAUBAT SEBELUM MELARAT


Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan
bertaubat. Tetapi apa caranya jika orang tua telah
meninggal sedangkan sewaktu hidupnya kita derhaka dan
melawan mereka? Bila insaf, selalulah ziarah kubur
emak ayah kita dan bacakan ayat-ayat suci untuknya.
Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau jiran-jiran
yang masih hidup dan buat baik dengan mereka. Sedekah
ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah
meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu redha
dan Allah ampunkan dosa. Allah maha pengampun dan luas
rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat
kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala
turun. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku
setiap hari. Misalnya tayar kereta pecah, jangan lihat
dengan mata kasar, selidik apa salah yang telah kita
buat hari ini. Pertama bagaimana hubungan kita dengan
Tuhan, jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua,
bagaimana pula hubungan dengan ibu? "Pastikan hubungan
dengannya sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi
menjalinkan hubungan yang baik kerana hayat mereka
bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita."


HUBUNGAN DENGAN BAPA


Lazim ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk
perasaan kerana tidak dipedulikan anak-anak. "Hubungan
dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam
konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, nabi suruh
utamakan ibu dahulu. Tiga kali ibu barulah sekali
kepada bapa." Bagaimanapun sebaik-baiknya, kasih
sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak
berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun
kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan
di depan mereka. Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua
mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil
kira kata-kata mereka tetapi kita wajib mentaati dan
menghormati golongan tua."


USAH DERHAKA KEPADA MENTUA


Mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang
tua sendiri. Kalau mereka kecil hati, samalah seperti
tersinggungnya hati emak. Kita sayang anaknya kenapa
tidak sayang orang yang melahirkannya juga? "Saya
tahu, ada menantu kecil hati dan pendam perasaan
terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang
anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana
taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung," jelasnya.


Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua
rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan
bapa mentua dan kelima baru isteri. Isteri kena faham,
kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang
wajar. "Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah,
kedua rasul dan ketiga suami. Jalan pintas ke syurga
bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya.
"Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak
ke atas menantu. Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim
dengan anaknya Nabi Ismail. Suatu hari, Nabi Ibrahim
ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada
di rumah isterinya pun tidak kenal dengan mentuanya.
Menantu berkasar menyebabkan Nabi Ibrahim kecil hati.
Dan sebelum balik dia berpesan kepada menantunya suruh
suaminya tukar alang rumah kepada yang baru. Bila Nabi
Ismail balik, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki
tersebut menyampaikan pesan. Nabi Ismail sedar itu
adalah ayahnya. Nabi Ismail insaf di sebalik simbol
kata-kata ayahnya, bahawa isterinya bukan daripada
kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan. Nabi
Ismali berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak
mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat
dan menantunya melayan dengan bersopan santun
walaupun tidak kenal siapa NabiIbrahim. Nabi Ibrahim
tertarik hati dan sebelum balik berpesan lagi, katakan
alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan
ditukar kepada yang lain